Monday, September 14, 2009

Pengenalan Kepada Jemaah Islam

MUQADDIMAH

• Penentangan di antara haq dan bathil tidak akan tamat
• Sifat kumpulan musuh adalah bersatu di antara kuffar (Ahzab)
• Individu Islam yang beriman, beramal soleh wajib dibentuk demi menentang musuh Allah dan Islam – (ada yang nampak dan ada yang tidak nampak)
• Dari individu Islam inilah pula disatukan menjadi sebuah jemaah yang mengandungi disiplin dan ciri-ciri yang telah ditetapkan oleh Allah.

KEWAJIPAN BERJEMAAH DAN CIRI-CIRI HIZBULLAH

Berjemaah merupakan tuntutan dalam membina ‘sebaik-baik ummah’. Ummah adalah kelompok manusia dan bukan indivudu yang bergerak sendirian. Oleh itu menggabungkan diri ke dalam jemaah Islam adalah satu kewajipan sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud:

“Sesungguhnya syaitan itu serigala kepada manusia seperti kambing juga. Dia menangkap mana-mana yang jauh dan terpencil, Maka janganlah kamu memencilkan diri dan hendaklah kamu berjemaah dan mencampuri orang ramai serta menghadiri masjid.”

Di antara rasional-rasional lain yang menguatkan kita untuk menyertai jemaah ialah :

• Menyatukan matlamat dan tindakan (ke arah wahdatul Fikr dan wahdatul Amal.)
• Menjana kekuatan melalui ukhwah yang terbentuk hasil keimanan terhadap Allah
• Menyelamatkan diri daripada terjerumus ke lembah kesesatan akibat tiada ‘At-Tawasu bi as Sabr wa taswasu bi-al Haq’
• Mengelakkan pembaziran tenaga, masa dan harta akibat tiada penyatuan dalam jemaah
• Mendapat keberkatan hasil daripada amalan yang disunnahkan oleh Rasullulah SAW.
• Bergerak secara bersendirian juga tidak mempunyai perancangan yang tersusun mantap akibat kseorangan tenaga untuk pengagihan tugas.


Banyak ayat Al-Quran, hadith, sirah dan athar sahabat yang menuntut kita berjemaah. Setelah mengamati kepentingan bergerak secara berjemaah maka timbullah persoalan jemaah bagaimana yang perlu digabungkan diri kepadanya. Beberapa perkara asasi yang perlu ada pada sebuah Jemaah Islam seperti berikut :

1. Tujuan menegakkan jemaah ialah kerana Allah dan memiliki segala ciri-ciri Rabbani, serta mencari mardhatillah. Jemaah jauh dari matlamat keduniaan seperti mencari kemasyhuran. Jemaah hendaklah juga jauh dari dorongan jahilyyah seperti Assabiyyah, batas-batas geografi atau kenegaraan, dan seumpamanya. Perkara seperti ini akan merosakkan amalannya dan membawanya ke arah kegagalan,
2. Jemaah menggunakan Al-Quran dan Sunnah sebagai sumber rujukan dan tidak tunduk di bawah kehendak orang tertentu, kerajaan atau apa sahaja sekiranya ia memberi kesan buruk kepada gerakan dakwahnya atau mempengaruhi mesej dakwahnya.
3. Jemaah Islam yang mempunyai ciri-ciri hizbullah, sebagaimana firman Allah bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, barangsiapa di kalangankamu yang keluar dari agamanya maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mengasihi mereka dan mereka mengasihi Allah, yang merendah diri kepada orang-orang beriman dan yang bersikap kerasa terhadap orang-orang kafir yang berjihad pada jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang mencela itu adalah kurnia Allah yang diberikan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah Maha Luas kurniaNya lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya Wali kamu hanyalah Allah rasulNya dan orang-orang yang beriman.”

Ringkasanya, jamaah itu mempunyai sifat-sifat berikut :-

o Allah mengasihi mereka dan mereka mengasihi Allah
o Merendah diri kepada orang-orang beriman dan bersikap keras terhadap orang-orang kafir
o Berjihad pada jalan Allah
o Tidak takut kepada celaan orang yang mencela
o Wala’ mereka hanyalah kepada Allah dan rasulNya
o Sifat kepimpinan golongan Islam itu adalah menunaikan ibadah kepada Allah s,w,t, kewajipan harta benda dan mematuhi semua perintah Allah
o Yakin kepada janji kemenangan daripada Allah

4. Jemaah dibangunkan atas tujuan menyeluruh dan bersepadu iaitu menegakkan agama Allah di bumi ini dengan mendirikan Daulah Islamiyyah. Methodologinya berdasarkan ajaran Rasulullah dan apa yang disyariatkan oleh Islam (ijmak atau qias). Jemaah tidak sepatutnya mengongkong dirinya dalam ‘perkara-perkara juzuk’ dalam Islam seperti ekonomi, politik, ibadah dan sebagainya.

5. Kefahaman jemaah pada Islam adalah syumul dan pendekatan dakwah yang digunakan juga bersifat menyeluruh(syamil), bertepatan dengan Al-Quran dan Sunnah dan bersih dari sebarang kesamaran, penyelewengan dan perbezaan pendapat yang boleh memecah-belahkan orang Islam.
6. Jemaah bersifat universal(alamiyah) dan tidak tertakluk pada batas negeri dan bangsa. Jemaah menekankan bahawa orang-orang Islam adalah umat yang satu (wahdatul ummah) dan sentiasa bergerak ke arah kesatuan. Dengan itu, jemaah ini berjuang untuk menegakkan Negara Islam Alamiyah dengan menggunakan Kaedah Sulbah, bukan Negara Islam Geografi sahaja.

7. Jemaah mengikut kaedah Rasulullah ketika mendirikan Negara Islam, berperingkat (marhalah), beransur-ansur (tadarruj), kejelasan risalah dakwah, kemampuan ahli, melaksanakan hikmah dan waspada dalam setiap langkah dan mengambil kira waqi’. Baginda mementingkan kemantapan aqidah, iman dan ibadah, mengutamakan kekuatan persaudaraaan dan penyatuan umat Islam, mengambil kira prinsip jihad dan ketenteraaan, tarbiyah dan lain-lain. Jemaah ini menekankan Kaedah Sulbah iaitu membina individu Islam, keluarga Islam,masyarakat Islam, negara Islam dan barulah Dunia Islam. Penggunaam kekuatan senjata sebelum aqidah, tarbiyah dan penyatuan umat Islam akan membawa perpecahan umat Islam dan kemudharatan besar. Sesungguhnya, pembinaan yang membesar secara tabii(Sulbah) itu bermula dari dasar (individu) dan bukan dari puncak(Negara).

8. Jemaah menjaga amalan dari mencari propaganda kerana ini boleh menghilangkan sifat ikhlas dan pahala. Setiap anggota mengutamakan diri untuk bekerja untuk Islam dan menghindarkan diri dari sebarang sifat mazmumah, perdebatan, prasangka, menabur fitnah dan ‘tajassus’ serta apa jua yang boleh menimbulkan perselisihan dan kurang daya produktif dalam berdakwah.

9. Jemaah bekerja dengan perancangan sempurna dan realistik. Tindakan yang diambil bukan secara spontan atau reaksi yang tidak dikaji terlebih dahulu kerana ini boleh mnegakibatkan natijah buruk.

10. Jemaah mengambil berat semua aspek pendidikan dan pekerjaan yang dikehendaki: aspek rohani, jasmani, mental dan ilmu. Dari segi politik, ia hendaklah melahirkan suara Islam dengan jalan kesedaran politik dan jauh sekali dari mengamalkan putar-belit kemelut parti sekular. Dari segi komunikasi, jemaah mementingkan peranan sebaran am, akhbar, penulisan serta apa jua sebaran dakwah serta menolak kekeliruan yang boleh timbul dari fitnah atau sesiapa sahaja.

11. Jemaah bercampur-gaul dengan semua orang dari segenap lapisan tidak kira bangsa, warna, kulit, bahasa ataupun pangkat. Mereka adalah ladang dakwah dan tapak semaian yang perlu disediakan terlebih dahulu sebelum mendirikan Negara Islam.

12. Jemaah mempunyai peraturan yang kemas serta tanzim tersusun yang menentukan tujuan kerja. Anggotanya terdiri daripada mereka yang telah ditarbiyah sepenuhnya dan berperibadi Islam serta tidak dicampuri anasir-anasir tidak sihat demi menjamin penerusan mesej dakwah yang dibawanya.

13. Konsep Syura diamalkan dalam setiap peringkat. Ahli digalakkan terus berbincang dan mengeluarkan pendapat serta kritikan membina kepada pimpinan (muhasabah). Konsep ketaaatan dan kepatuhan dalam perkara yang bukan maksiat sentiasa ditekankan

14. Sentiasa memeriksa tanggungjawab serta mengikuti isu-isu semasa yang dihadapi oleh umat Islam seluruh dunia dan sama-sama memberi sumbangan sekadar mampu. Sentiasa menyeru orang-orang Islam agar sama-sama memberi sumbangan bagi tujuan menghidupkan semangat perpaduan serta sama-sama merasa tanggungjawab terhadap apa yang berlaku pada umat Islam keseluruhannya

15. Jemaah ini sentiasa memikirkan langkah-langkah masa depan serta bergerak(muharriq) untuk menyediakan kemahiran dalam berbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi, perundangan, dakwah, kesihatan, ketenteraan, sosial dan lain-lain lagi

16. Jemaah hendaklah mengambil kesempatan dalam setiap penerokaan baru samada dalam bidang pemikiran, pengalaman dakwah ataupun kajian sains selagi ia tidak menyalahi prinsip Islam.

MATLAMAT KHUSUS

 Melahirkan individu Muslim dan mengembalikan Islam yang tulen
 Membina keluarga Islam yang benar-benar memberi saham di dalam pembentukan individu Muslim dan masyarakat Muslim
 Membina masyarakat Islam yagn mencerminkan Islam kepada masyarakat yang belum menerima Islam
 Mendirikan Negara Islam
 Menyatukan semula Negara Islam yang berpecah-belah


MATLAMAT UMUM

 Mengembalikan manusia kepada pengabdian diri kepada Allah s.w.t
 Mempelopori kerja-kerja mal ma’ruf dan nahi mungkar
 Menyampaikan risalah Islam kepada manusia seluruhnya
 Menghapuskan firnah dan kekufuran dari berkuasa di muka bumi





KESIMPULAN

Sebagai jemaah yang membawa risalah, tugas dan tanggungjawab para nabi, maka semestinya mempunyai ciri-ciri utuh dan penuh rabbani kerana dengan ciri-ciri yang menepati rabbani sahajalah sebuah jemaah itu mendapat petunjuk dan bimbingan Ilahi, sesuai dari Allah, dengan cara yang ditentukan oleh Allah dan untuk Allah. Sebuah jemaah yang ingin mengecapi pertolongan Allah seperti firman di atas, perlulah terlebih dahulu diuji sehebat-hebatnya oleh Allah sebagaimana usaha yang dicurahkan mencapai tahap maksimum. Ujian yang ditimpakan oleh Allah sebagaimana terdapat di dalam ini digunakan perkataan ‘zalzala’ ynag membawa pengertian ujian yang amat besar. Perkataan ini jugalah yang digunakan untuk pengertian Qiamat. Inilah janji Allah samada cabarannya, begitu juga pertolongannya.

1 comment: